IMAN 2.0

Mereka mungkin berasal dari kampung, membesar di sawah-sawah padi sambil membantu ayah menggembala ternakan seperti lembu dan kerbau.
Namun itu tidak bermakna anak-anak jati negeri Jelapang Padi ini boleh dipandang sebelah mata.

Hakikatnya, anak-anak Kedah ini sudah ramai yang berjaya termasuklah pernah berada di tampuk kepemimpinan negara, selain mengetuai syarikat-syarikat korporat ternama.

Begitu juga dengan generasi mudanya kini, tidak dinafikan, ada antara golongan ini yang terus leka dengan nafsu seperti ditempat-tempat lain, namun ramai juga dalam kalangan mereka mempunyai kualiti untuk diketengahkan sebagai pemimpin dan pegawai atasan di sesebuah jabatan kerajaan pada masa akan datang.

Perkara itu diakui Pengurus Besar INSPIN, Syed Shaharuddin bin Syed Abdullah yang diberi peranan untuk mengurus selia pengambilan peserta program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) 2.0 yang bermula 1 November depan.

“Saya sendiri berpeluang untuk menemuduga sebahagian daripada 408 calon yang disenarai pendek untuk mengikuti program tersebut. Jujurnya saya terkejut dengan kualiti yang ada pada mereka.

“Ada antara mereka itu yang kualitinya jauh melebihi jangkaan sama ada dari kelayakan akademik atau keterampilan. Mereka ini pada saya benar-benar hebat dan layak untuk diketengahkan sebagai pegawai kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk membantu kerajaan negeri, INSPIN mencari siswazah yang mempunyai faktor ‘wow’ untuk dilatih di bawah program tersebut.
“Rata-rata mereka berkarisma dan saya berpuas hati dengan kualiti yang ada.

“Melalui penglibatan mereka, saya fikir progam IMAN ini akan berjaya. Ini akan menjadi batu loncatan buat mereka untuk berdepan dengan dunia pekerjaan secara lebih baik dan cemerlang apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Posted in Uncategorized.